Friday 18 January 2013

Saka atau belaan - part 4


Gangguan tidak berhenti di situ. Leha kerap dimasukkan ke hospital apabila buah pinggangnya gagal berfungi dan perlu dicuci.

Satu hari mak dan bapak aku datang melawat dia di hospital. Sepanjang di Hospital dia dijaga oleh adik perempuannya Ijah. Sedang berbual-bual dengan Ijah tiba-tiba Leha bersuara, “Ish! Janganlah kacau…orang nak tidurlah”. Mak aku ingatkan dia marahkan mak aku yang sibuk bercakap rupa-rupanya, “Acik tengoklah orang ni, asyik kacau aku tidur je”.

Mak aku berkerut dahi sambil mengikut arah tangan yang ditunjukkan Leha. Tak ada sesiapa pun.

“Tu ha Cik, besar-besar badan tu…hitam pulak tu” Leha menunjukkan lagi. Yang paling buat mak aku bingung mata dia buta! Macamana pulak dia boleh nampak? Mak dan bapak aku pun dia tak nampak. Apa lagi meremang bulu roma mak aku oiii… .

Rupa-rupanya mengikut cerita Karim adik Leha, Leha selalu rasa badannya kepanasan yang teramat sangat. Orang lain tak rasa apa-apa tapi dia rasa macam ada orang letak bara api di badannya. Sudah puas berubat cuma sedikit berkurangnya.

Selain itu, jika berada di rumah Leha juga sering meracau seolah-olah marahkan seseorang. Dia juga sering mengadu rasa sakit dibadannya akibat dicubit atau dikasari oleh makhluk hitam itu. Dua orang adik perempuan Leha tidak berani tidur di dalam bilik. Menurut kata mereka, selalu terdengar bunyi cakaran di dinding rumah dan suara ngauman seakan bunyi harimau. Adik lelaki Karim juga tidak suka tidur di bilik belakang kerana setiap kali dia hendak tidur pasti ada lelaki hitam berkain pelikat duduk mencangkung di situ. Sebab itu dia suka tidur di ruang tamu sahaja.

Masalah yang menimpa keluarga Karim sangat merungsingkan hatinya. Menurut Karim dia pernah membawa Leha berubat dengan seorang pengamal perubatan traditional. Menurut pengamal perubatan itu dia berjaya berkomunikasi dengan makhluk yang menghantui keluarga Karim. Makhluk itu telah bersumpah untuk menghapuskan seluruh keturunan keluarga Pak Teh. Karim menjadi susah hati kerana dia tidak mahu ada lagi ahli keluarganya yang menjadi mangsa Iblis tu. Tidak diketahui sebab yang jelas.

Umur Leha tidak panjang, dia juga tidak mampu menahan kesakitan dan seksaan itu. Tubuhnya telah dijadikan tempat persinggahan makhluk hitam yang telah beranak pinak di tanah milik keluarga Leha. Menurut kacamata pengamal perubatan itu, tapak rumah dan kawasan sekeliling rumah Karim penuh dengan makhluk hitam kecil dan besar. Mereka telah bersarang dan beranak pinak di situ sejak sekian lama. Mereka telah berkampung di situ…