Thursday 6 December 2012

Saka atau belaan - part 3


Kita namakan dia Leha. Leha sudah berkahwin tetapi juga tidak mempunyai anak.

Suami Leha seorang lelaki yang sangat baik dan penyabar. Bertahun – tahun mereka berkahwin tetapi masih tidak dikurniakan seorang anak pun. Menurut cerita Leha, dia sudah banyak kali mengandung, tetapi setiap kali usia kandungan menginjak 4-5 bulan macam tu dia keguguran.

Leha disyaki mengidap penyakit yang sama dengan arwah Pak Teh dan Usop. Disebabkan Leha perempuan dan dia pernah mengandung maka penyakit Leha dikesan lebih awal.

Semakin hari penyakit Leha semakin teruk dan perlu mengambil insulin setiap hari. Tahun demi tahun, penyakit Leha sampai kepenghujungnya. Leha hilang penglihatan (symptom kencing manis) dan kakinya membengkak.

Apa yang menyedihkan Leha juga mengalami komplikasi kegagalan buah pinggang. Dia perlu mencuci darah beberapa kali dalam seminggu. Kos rawatan ditanggung oleh adik lelaki Leha yang terpelajar tu (kita namakan dia Karim).

Leha ada mengambil anak angkat sewaktu dia masih sihat. Disebabkan faktor kesihatan, Leha terpaksa memulangkan anak tersebut kepada orang tuanya.

Sepanjang Leha sakit pelbagai peristiwa misteri dialami keluarga Mak Teh. Karim dan keluarganya telah merata membawa Leha berubat termasuk perubatan traditional. Menurut cerita, rumah yang baru dibina oleh Mak Teh sering mendapat gangguan benda halus.

Mengikut kata salah seorang saudara Mak Teh (kita namakan Ali), sewaktu dia berkawal pada malam hari (ronda rukun tetangga) dalam pukul antara 12.00 tengah malam ke 3.00 pagi dia pernah ternampak kelibat seorang lelaki berkulit gelap, berbadan besar dan berkain pelikat sedang duduk mencangkung di belakang rumah Mak Teh. Ali hanya memerhati sahaja dan tidak melihat secara dekat kerana dia dapat rasakan apa yang dilihat bukan manusia biasa.

Lelaki itu sering berkeliaran antara sempadan dapur mak aku dan dapur Mak Teh. Ali telah beberapa kali ternampak sewaktu dia membuat rondaan. Tetapi Ali tidak maklumkan kepada mak aku sebab bimbang mak aku takut pulak. Cerita lelaki misteri tu rupanya telah dilihat sendiri oleh bapak aku. Tapi bapak aku tak pernah cerita pulak kat kitorang.

Menurut kata mak aku, ada satu malam tu bapak aku nak pergi buang air kat tandas luar rumah. Bapak aku ni tak suka pakai tandas dalam rumah, dia selesa pakai tandas cangkung. Jadi kalau perut sakit pukul 2.00-3.00 pagi pun dia selamba je keluar ke belakang rumah.


Satu malam, bapak aku sakit perut. Dia keluar ke belakang dan tak berapa lama kemudian dia masuk balik. Mak aku tegur kenapa cepat sangat? Bapak aku diam je. Esoknya bapak aku demam. Dia cerita kat mak apa yang dia nampak malam tu. Kata bapak aku sewaktu dia nak melangkah masuk ke tandas dia ternampak kelibat lelaki hitam berkain pelikat sedang duduk mencangkung tidak jauh dari tandas. Bapak aku ni ingat mungkin budak nakal yang suka ngendap tetapi bila bapak aku tegur langsung tak nyahut dan tak gerak. Sebab tak sedap hati, terus bapak aku masuk rumah. Tu yang dia demam. Sejak tu bapak aku tak pakai dah tandas luar waktu malam. Siang hari je dia pergi atau waktu awal malam je. Heheheheh….

Monday 3 December 2012

Saka atau belaan - Part 2


 
 
Anak lelaki Pak Teh ni sebenarnya ada kekurangan diri sikit. Dia tak tahu membaca dan menulis…ni masa sekolah dululah. Agaknya bila dah besar ni mungkin boleh baca sikit-sikit kut.

Sebab yang peliknya walaupun dia tak habis sekolah, dia boleh dapat kerja gomen tu. Hebat betul ilmu arwah tu agaknya. Nak jadi cerita, anak lelaki Pak Teh telah bertemu dengan wanita idaman hati. Maka termeterai satu lagi perjanjian antara dia dan isterinya…kawin ler.

Kalau tak salah dah lebih setahun berkahwin tetapi isterinya masih tidak mengandung (tak de rezeki lagi). Atas sebab-sebab yang tidak jelas dan dirahsiakan, isteri Usop (aku namakan dia senanglah…) telah pergi meninggalkan Usop. Dia tak nak kembali lagi pada Usop. Maka bercerailah mereka ni.

Setelah bercerai maka sololah si Usop tu. Hahaha…boleh pasang barulah kira ye tak? Tetapi tiada jodoh pula dengan orang lain. Akhirnya Usop pula jatuh sakit. Sama dengan penyakit ayahnya…kencing manis. Badan Usop yang gempal bulat akhirnya semakin hari semakin kurus dan mengecil dan akhirnya dia tidak mampu berdiri lagi dan hanya duduk di kerusi roda. Keadaan Usop dan arwah Pak Teh hampir sama.

Ilmu yang ada sepatut kena turunkan tetapi tiada seorang pun adik-beradik Usop yang nak ambil ilmu tu. Semua tak sanggup dan tak nak menjaga makhluk belaan tu. Aku sendiri tak tahu siapa yang ambil. Ada kemungkinan Mak Teh yang ambil atau sudah dibuang sebab tiada seorang pun ahli keluarga yang sanggup terima.

Maka cerita sedih tu terhenti di situ saja. Tiada siapa yang tahu siapa yang ambil ilmu Pak Teh tu. Anak lelaki ketiga arwah seorang yang terpelajar dan telah bertindak membuang semua barang-barang pemujaan peninggalan arwah Pak Teh. Dengar kata beliau telah buangkan semuanya ke laut.

Keadaan tenang seketika.

Tidak lama kemudian, seorang lagi ahli keluarga Mak Teh jatuh sakit. Kali ni anak perempuan kedua Mak Teh pula...