Sunday, 10 February 2013

Saka atau belaan - part 5


Kalau korang nak tahu, di sebabkan syaitan tu semua dah berkampung di situ, tempiasnya turut kena di rumah aku. Bilik aku dekat dengan rumah Karim, kira dekat sempadan rumah dia. Sedang aku leka surf internet, tiba-tiba terdengar bunyi seperti orang baling pasir kat atap rumah. Berdesir je bunyinya. Mula-mula aku buat derk gak, aku fikirkan itu angin ke atau dahan rambutan terkena zink rumah.

Lama-lama aku makin pelik, bila bunyi tu terjadi lagi pada suatu malam, aku terus keluar dari bilik dan bertanya dengan mak dan bapak aku sama dia ada dengar tak bunyi yang sama. Mak dan bapak aku tercengang-cengang sebab diorang tak dengar langsung bunyi tu. Bapak aku cakap bunyi angin aja tu. Aku cool balik.

Di malam yang lain, tiba-tiba bunyi sesuatu benda jatuh dengan kuat di atas atap bilikku. Aku bergegas keluar dan bertanyakan pada mak, ada tak dengar bunyi kuat tu tadi. Mak hanya menggelengkan kepala. Ish! Apa dah jadi ni. Aku heran, kenapa aku je yang dengar dan orang lain tidak.



Apakah bunyi yang aku dengar?...



Friday, 18 January 2013

Saka atau belaan - part 4


Gangguan tidak berhenti di situ. Leha kerap dimasukkan ke hospital apabila buah pinggangnya gagal berfungi dan perlu dicuci.

Satu hari mak dan bapak aku datang melawat dia di hospital. Sepanjang di Hospital dia dijaga oleh adik perempuannya Ijah. Sedang berbual-bual dengan Ijah tiba-tiba Leha bersuara, “Ish! Janganlah kacau…orang nak tidurlah”. Mak aku ingatkan dia marahkan mak aku yang sibuk bercakap rupa-rupanya, “Acik tengoklah orang ni, asyik kacau aku tidur je”.

Mak aku berkerut dahi sambil mengikut arah tangan yang ditunjukkan Leha. Tak ada sesiapa pun.

“Tu ha Cik, besar-besar badan tu…hitam pulak tu” Leha menunjukkan lagi. Yang paling buat mak aku bingung mata dia buta! Macamana pulak dia boleh nampak? Mak dan bapak aku pun dia tak nampak. Apa lagi meremang bulu roma mak aku oiii… .

Rupa-rupanya mengikut cerita Karim adik Leha, Leha selalu rasa badannya kepanasan yang teramat sangat. Orang lain tak rasa apa-apa tapi dia rasa macam ada orang letak bara api di badannya. Sudah puas berubat cuma sedikit berkurangnya.

Selain itu, jika berada di rumah Leha juga sering meracau seolah-olah marahkan seseorang. Dia juga sering mengadu rasa sakit dibadannya akibat dicubit atau dikasari oleh makhluk hitam itu. Dua orang adik perempuan Leha tidak berani tidur di dalam bilik. Menurut kata mereka, selalu terdengar bunyi cakaran di dinding rumah dan suara ngauman seakan bunyi harimau. Adik lelaki Karim juga tidak suka tidur di bilik belakang kerana setiap kali dia hendak tidur pasti ada lelaki hitam berkain pelikat duduk mencangkung di situ. Sebab itu dia suka tidur di ruang tamu sahaja.

Masalah yang menimpa keluarga Karim sangat merungsingkan hatinya. Menurut Karim dia pernah membawa Leha berubat dengan seorang pengamal perubatan traditional. Menurut pengamal perubatan itu dia berjaya berkomunikasi dengan makhluk yang menghantui keluarga Karim. Makhluk itu telah bersumpah untuk menghapuskan seluruh keturunan keluarga Pak Teh. Karim menjadi susah hati kerana dia tidak mahu ada lagi ahli keluarganya yang menjadi mangsa Iblis tu. Tidak diketahui sebab yang jelas.

Umur Leha tidak panjang, dia juga tidak mampu menahan kesakitan dan seksaan itu. Tubuhnya telah dijadikan tempat persinggahan makhluk hitam yang telah beranak pinak di tanah milik keluarga Leha. Menurut kacamata pengamal perubatan itu, tapak rumah dan kawasan sekeliling rumah Karim penuh dengan makhluk hitam kecil dan besar. Mereka telah bersarang dan beranak pinak di situ sejak sekian lama. Mereka telah berkampung di situ…

Thursday, 6 December 2012

Saka atau belaan - part 3


Kita namakan dia Leha. Leha sudah berkahwin tetapi juga tidak mempunyai anak.

Suami Leha seorang lelaki yang sangat baik dan penyabar. Bertahun – tahun mereka berkahwin tetapi masih tidak dikurniakan seorang anak pun. Menurut cerita Leha, dia sudah banyak kali mengandung, tetapi setiap kali usia kandungan menginjak 4-5 bulan macam tu dia keguguran.

Leha disyaki mengidap penyakit yang sama dengan arwah Pak Teh dan Usop. Disebabkan Leha perempuan dan dia pernah mengandung maka penyakit Leha dikesan lebih awal.

Semakin hari penyakit Leha semakin teruk dan perlu mengambil insulin setiap hari. Tahun demi tahun, penyakit Leha sampai kepenghujungnya. Leha hilang penglihatan (symptom kencing manis) dan kakinya membengkak.

Apa yang menyedihkan Leha juga mengalami komplikasi kegagalan buah pinggang. Dia perlu mencuci darah beberapa kali dalam seminggu. Kos rawatan ditanggung oleh adik lelaki Leha yang terpelajar tu (kita namakan dia Karim).

Leha ada mengambil anak angkat sewaktu dia masih sihat. Disebabkan faktor kesihatan, Leha terpaksa memulangkan anak tersebut kepada orang tuanya.

Sepanjang Leha sakit pelbagai peristiwa misteri dialami keluarga Mak Teh. Karim dan keluarganya telah merata membawa Leha berubat termasuk perubatan traditional. Menurut cerita, rumah yang baru dibina oleh Mak Teh sering mendapat gangguan benda halus.

Mengikut kata salah seorang saudara Mak Teh (kita namakan Ali), sewaktu dia berkawal pada malam hari (ronda rukun tetangga) dalam pukul antara 12.00 tengah malam ke 3.00 pagi dia pernah ternampak kelibat seorang lelaki berkulit gelap, berbadan besar dan berkain pelikat sedang duduk mencangkung di belakang rumah Mak Teh. Ali hanya memerhati sahaja dan tidak melihat secara dekat kerana dia dapat rasakan apa yang dilihat bukan manusia biasa.

Lelaki itu sering berkeliaran antara sempadan dapur mak aku dan dapur Mak Teh. Ali telah beberapa kali ternampak sewaktu dia membuat rondaan. Tetapi Ali tidak maklumkan kepada mak aku sebab bimbang mak aku takut pulak. Cerita lelaki misteri tu rupanya telah dilihat sendiri oleh bapak aku. Tapi bapak aku tak pernah cerita pulak kat kitorang.

Menurut kata mak aku, ada satu malam tu bapak aku nak pergi buang air kat tandas luar rumah. Bapak aku ni tak suka pakai tandas dalam rumah, dia selesa pakai tandas cangkung. Jadi kalau perut sakit pukul 2.00-3.00 pagi pun dia selamba je keluar ke belakang rumah.


Satu malam, bapak aku sakit perut. Dia keluar ke belakang dan tak berapa lama kemudian dia masuk balik. Mak aku tegur kenapa cepat sangat? Bapak aku diam je. Esoknya bapak aku demam. Dia cerita kat mak apa yang dia nampak malam tu. Kata bapak aku sewaktu dia nak melangkah masuk ke tandas dia ternampak kelibat lelaki hitam berkain pelikat sedang duduk mencangkung tidak jauh dari tandas. Bapak aku ni ingat mungkin budak nakal yang suka ngendap tetapi bila bapak aku tegur langsung tak nyahut dan tak gerak. Sebab tak sedap hati, terus bapak aku masuk rumah. Tu yang dia demam. Sejak tu bapak aku tak pakai dah tandas luar waktu malam. Siang hari je dia pergi atau waktu awal malam je. Heheheheh….

Monday, 3 December 2012

Saka atau belaan - Part 2


 
 
Anak lelaki Pak Teh ni sebenarnya ada kekurangan diri sikit. Dia tak tahu membaca dan menulis…ni masa sekolah dululah. Agaknya bila dah besar ni mungkin boleh baca sikit-sikit kut.

Sebab yang peliknya walaupun dia tak habis sekolah, dia boleh dapat kerja gomen tu. Hebat betul ilmu arwah tu agaknya. Nak jadi cerita, anak lelaki Pak Teh telah bertemu dengan wanita idaman hati. Maka termeterai satu lagi perjanjian antara dia dan isterinya…kawin ler.

Kalau tak salah dah lebih setahun berkahwin tetapi isterinya masih tidak mengandung (tak de rezeki lagi). Atas sebab-sebab yang tidak jelas dan dirahsiakan, isteri Usop (aku namakan dia senanglah…) telah pergi meninggalkan Usop. Dia tak nak kembali lagi pada Usop. Maka bercerailah mereka ni.

Setelah bercerai maka sololah si Usop tu. Hahaha…boleh pasang barulah kira ye tak? Tetapi tiada jodoh pula dengan orang lain. Akhirnya Usop pula jatuh sakit. Sama dengan penyakit ayahnya…kencing manis. Badan Usop yang gempal bulat akhirnya semakin hari semakin kurus dan mengecil dan akhirnya dia tidak mampu berdiri lagi dan hanya duduk di kerusi roda. Keadaan Usop dan arwah Pak Teh hampir sama.

Ilmu yang ada sepatut kena turunkan tetapi tiada seorang pun adik-beradik Usop yang nak ambil ilmu tu. Semua tak sanggup dan tak nak menjaga makhluk belaan tu. Aku sendiri tak tahu siapa yang ambil. Ada kemungkinan Mak Teh yang ambil atau sudah dibuang sebab tiada seorang pun ahli keluarga yang sanggup terima.

Maka cerita sedih tu terhenti di situ saja. Tiada siapa yang tahu siapa yang ambil ilmu Pak Teh tu. Anak lelaki ketiga arwah seorang yang terpelajar dan telah bertindak membuang semua barang-barang pemujaan peninggalan arwah Pak Teh. Dengar kata beliau telah buangkan semuanya ke laut.

Keadaan tenang seketika.

Tidak lama kemudian, seorang lagi ahli keluarga Mak Teh jatuh sakit. Kali ni anak perempuan kedua Mak Teh pula...

Thursday, 29 November 2012

SAKA ATAU BELAAN...??



Bercakap tentang saka atau belaan, sukar untuk dimengertikan maksud sebenarnya jika kita sendiri tidak mengalami peristiwa berkaitan dengan makhluk ini. Sukar juga untuk kita percaya bahawa wujudnya makhluk lain di dunia ni yang mana kita tidak boleh nampak tetapi sebenarnya ia ada.

Hampir enam tahun aku tinggal di situ tanpa aku tahu bahawa berhampiran rumahku juga ada makhluk lain yang berkeliaran sama ada siang atau malam. Yang paling buat aku rasa nak pitam tu, jiran sebelah rumah pulak yang punya. Ya Allah…tak de benda lain ke nak bela? Kenapa tak minta pertolongan daripada Allah (s.w.t)? Aku cerita tentang saka sebelum ni tetapi tak sangka dekat sebenarnya dengan aku….huhuhu.

Cerita bermula apabila seorang demi seorang ahli keluarga Mak Teh meninggal dunia. Mula-mula suami Mak Teh sendiri. Semua oang kampung tahu yang arwah Pak Teh mengidap penyakit kencing manis. Jadi hari demi hari badannya yang gempal menjadi semakin susut dan akhirnya hanya terbaring sahaja. Tubuh Pak Teh dah jadi kecil dan tidak berisi seperti dulu. Menurut kata orang, Pak Teh ni ada menuntut ilmu. Ilmu apa aku tak pasti. Yang aku tahu fungsi ilmu dia tu adalah untuk menjaga harta-benda dan keluarga. Pak Teh ni berniaga, kedai dia dah beberapa kali dipecah masuk dan banyak barang  dalam kedai yang hilang. Jadi, sebab tidak sanggup berterusan macam tu, Pak Teh bertekad menuntut ilmu.

Pernah satu hari tu, Pak Teh minta mak aku jangan keluar rumah malam tu sebab dia tak nak mak ternampak atau terkejut tengok keadaan dia nanti. Ilmu yang dituntut Pak Teh berkehendakkan dia mengelilingi rumahnya pada tengah malam tanpa seurat benang di badan. Disebabkan tandas rumah mak aku kat luar jadi awal-awal lagi Pak Teh bagitau mak agar tidak terkejut jika ternampak dia berkeadaan begitu…kira oklah sebab bagitau awal. Hehehe…

Sejak dari itu, kedai Pak Teh tidak lagi dimasuki pencuri. Malah semakin bertambah maju.

Tetapi…beberapa tahun kemudian Pak Teh jatuh sakit. Bila dia jatuh sakit, maka Pak Teh sudah tentu tak mampu lagi untuk melakukan amalan yang perlu dia lakukan untuk persembahan belaannya. Dengar cerita, ilmu itu perlu diturunkan kepada warisnya iaitu anak lelaki sulung Pak Teh. Umur anak lelaki sulung Pak Teh ketika tu dalam lingkungan 20-an. Muda sangat. Aku tak pasti masa tu dia dah kahwin ke belum . Macam mana dia turunkan ilmu tu aku tak pasti.

Semasa Pak Teh nak meninggal dunia (masa tengah nazak), saudaranya terpaksa buka atap di bawah tempat perbaringan akhirnya. Dengar cerita, arwah lama sangat sakit. Orang surau ada datang bacakan surah Yaasin beramai-ramai untuk memudahkan arwah pergi tetapi tidak berhasil dan akhirnya terpaksalah buka atap rumah.

Pendek cerita, pewaris kedua ilmu Pak Teh adalah anak lelaki sulungnya.

Cerita selanjutnya kita sambung lagi kemudian ye…bye!


Tuesday, 20 September 2011

Suara Siapa??

Cerita ni aku dengar masa kat asrama dulu. Aku syerkan di sini.


Seperti yang semua sedia maklum, kalau tinggal kat asrama mesti ada prep malam kan. So, ada seorang senior form 5, nak periksa SPM tahun tu. Jadi habis prep malam dia akan balik ke bilik dan kebiasaannya dia akan sambung study kat katil bilik. Walaupun lampu bilik wajib dipadamkan tapi senior ni tetap gak study dan dia gunakan cahaya lampu koridor untuk teruskan study.

Satu malam tu, macam biasa dia bersiap-siap untuk study. Kebiasaan dia sambil study dia suka dengar walkman. Entah apa silapnya malam tu, sambil study sambil dengar walkman, tetiba bunyi walkman dia macam lemau je...bateri kong kut. Senior tu pun, cari bateri spare kat almari tapi tak de. Sebab semangat nak study maka dia pun naik tingkat atas ke dorm kawan dia minta ‘sos’ bateri spare. Dapat gak akhirnya bateri. Bateri baru, masih dalam pembalut lagi. Jadi dia pun pasanglah bateri tu kat walkman dia.

Senior tu pun mula pasang balik walkman. Tak semena-mena, bunyi walkman lemau balik...jelas dengan tidak je dengar. Senior tu fikir ni mesti walkman dia dah nak rosak. Bateri baru, tak kan lemau gak bunyi dia. Dia ketuk-ketuk walkman tu nak bagi clear. Tak ok jugak. Tiba-tiba dia terdengar suara gemersik dari walkman tu.... hei manusia! Jangan kacau tempat aku.. . Mulanya senior tu ingat drama dalam radio walkman tu. Tapi dia tengok lampu walkman tak hidup. Mana datangnya pulak suara tu. Dia pun pasang telinga betul-betul...memang sah! Suara tu datang dari walkman dia yang rosak.

Apalagi, senior tu terus lari ke dorm kawan dia kat tingkat atas dan bermalam di situ.

Monday, 19 September 2011

Saka lagi..

Hi semua...sorry lama tak update blog ni. Busylah jugak sekarang ni.

Okay...kisah makhluk saka berambut panjang tu setahu aku sehingga hari ini masih tidak dapat diusir. Tak pasti pulak kalau anak-anak arwah sedang usahakan sesuatu sekarang. Apa pun aku nak cerita pasal saka-saka ni yang menghuni rumah tersebut.

Yang pernah mak aku ceritakan, orang dahulu kala terlalu percaya pada jin yang kononnya dapat membantu manusia seperti menjaga tanaman dan ternakan. Jadi mereka ni pernah berjanji / buat janji dengan penunggu bukit atau pokok dengan harapan tanaman mereka menjadi. Tetapi masalahnya apabila tuan asalnya meninggal dunia maka anak cucu yang jadi mangsa untuk mewarisi saka tersebut. Di sinilah masalah bermula. Anak cucu hidup dalam zaman sains dan teknologi, mana sanggup nak bela atau belajar benda-benda ni semuakan..jadi bila tidak diterima maka anak cucu jadi mangsa dan ada yang jatuh sakit dan meninggal dunia.

Sehingga kini saka perempuan berambut panjang dan bertelekung putih masih menghuni rumah tersebut. Anak arwah pernah terserempak dengan saka perempun bertelekung. Walaupun dia tak kacau tetapi kemunculannya dah membuatkan semua orang takut. Apa tidaknya, masa musim perayaan yang lalu (2-3 tahun lepas), semasa anak arwah baring berehat di kerusi panjang untuk melepaskan lelah. Tidak semena-mena perempuan bertelekung putih muncul betul-betul dihadapan anak arwah yang sedang berbaring. Apalagi, kaku seluruh badan anak arwah. Nak bergerak pun tak boleh kerana makhluk tersebut betul-betul hampir dengan tempat dia berbaring. Apa yang dia harapkan masa tu agar makhluk tu tidak menoleh ke arahnya. Tetapi macam tau-tau aje makhluk tu tiba-tiba menoleh dan jeng..jeng..jeng...makhluk tu tidak ada muka! Kosong je...putih kabur.

Macam-macam bacaan ayat al-quran di bacanya tetapi makhluk tu sikit pun tak berganjak. Makhluk tu terus merenung anak arwah tanpa berganjak. Apabila anak arwah menutup mata dan membuka matanya kembali, makhluk tu pun hilang begitu saja. Barulah badannya boleh bergerak semua dan terus berlari ke dapur menyertai ahli keluarga yang lain.

Menurut rupa anak arwah, walaupun makhluk itu tidak bermuka tetapi bentuk badan saling tak tumpah seperti arwah. Nama pun saka kan. Untuk ini dulu kali ni....bye!

Wednesday, 16 March 2011

MISTERI SAKA...

Dah lama aku tak update blog ni. Hari ni terasa nak menulis pulak. Kebetulan ada cerita yang aku nak kongsikan di sini.

Tentu korang pernah dengar atau mungkin juga korang pernah alami sendiri benda yang dipanggil saka atau yang sekutu dengannya. Dua tiga hari lepas mak aku ada ceritakan tentang kisah saka ni. Kisah saka ni dari keluarga sebelah mak aku. Ada macam-macam jenis saka yang aku tahu ada dalam keluarga aku ni tapi tak tahu sama ada benar atau tidak.

Ada seorang saudara datang ke rumah semalam, dia sepupu mak aku. Dia cakap dah lama duduk di kampung tapi tidak berani nak duduk di rumah peninggalan mak dia di kampung. Jadi dia beli rumah di kawasan perumahan berhampiran. Katanya ahli keluarga yang bermalam di rumah arwah orang tuanya sering diganggu dan akhirnya akan jatuh sakit. Ada yang kata ternampak arwah duduk di tangga ditempat biasa arwah selalu duduk. Adik - beradik yang balik ke kampung pada mulanya berhajat nak meriahkan semula rumah orang tua diorang tetapi tergamam apabila sedang asyik berborak, tetiba ada kelibat arwah melintas betul-betul di depan mereka. Apalagi tergamamlah semuanya.

Sejak itu, rumah tersebut bertambah suram dan sesekali ada anak-anak yang balik menjengah dan membersihkan rumah tersebut tetapi tidak bermalam di sana.

Menurut sepupu mak aku, ada 3 jenis makhluk halus yang menghuni rumah tersebut. Satu, berupa perempuan memakai telekung putih, yang kedua berupa lelaki pendek yang sering berbaju t-shirt dan berseluar pendek dan ketiga berupa perempuan berambut panjang mengurai. Sepupu mak aku telah berpakat dengan adik-beradik dia untuk memindahkan makhluk halus ni ke tempat lain. Jadi seorang Ustaz dipanggil untuk melakukan kerja tersebut.
Menurut ustaz tersebut, makhluk yang berupa lelaki berbaju t-shirt dan berseluar pendek itu menangis apabila diminta oleh ustaz untuk meninggalkan rumah tersebut. Lelaki tersebut menangis kerana katanya telah lama dia menghuni di situ, dia bertugas menjaga hasil ternakan tuannya. Walaupun ternakan tuannya dah tak de dan tuannya pun dah meninggal dunia,  dia tetap setia dan bertindak menjaga rumah peninggalan tuannya pula. Setelah dipujuk oleh ustaz maka makhluk itu bersetuju dipindahkan walaupun dengan esakan tangis "sampai hati buat aku macam ni". Pelik je kann... . Tetapi makhluk yang bertelekung tidak diusir kerana dikatanya tidak mendatangkan mudharat.

Makhluk yang ketiga iaitu berambut panjang, paling susah dan sukar di tangkap. Kata uztaz yang ni payah sikit ....sampai kini masih tidak dapat ditangkap.

Ada pelbagai kisah lagi disebalik kisah ini. Nanti aku ceritakan lagi......



Thursday, 10 September 2009

Semakin takut dan jadi penakut

Ada satu cerita yang masih aku ingat adalah tentang hantu tak bermuka. Ceritanya begini, pada satu malam setelah pulang dari kelas prep kami semua terus tidur akibat keletihan dengan pelbagai aktiviti di siang hari. Tiba-tiba pintu dorm diketuk dengan kuat dari luar dan terdengar suara orang memanggil dan meminta pintu dibuka segera. Kak Idah yang katilnya berhampiran pintu terus bergegas membuka pintu. Rupa-rupanya Kak Mas. Jam ketika itu pukul 2.00 pagi.

Kak Mas yang tercungap-cungap terus memeluk Kak Idah sambil duduk bercerita di birai katil Kak Idah. Menurut cerita Kak Mas, masa dia dan sorang kawannya lagi sedang study di kelas tiba-tiba Kak Bibah muncul dengan keadaan tercungap-cungap. Kak Mas hairan kenapa Bibah tiba-tiba pusing balik sedangkan tadi dia yang beriya-iya nak balik ke dorm, mengantuk katanya.  Bibah bercerita sambil menggigil ketakutan. Menurut Kak Bibah, masa dia nak menuruni tangga untuk balik ke asrama, dia terserempak dengan seorang pelajar perempuan yang berselisih jalan dengannya. Disebabkan keadaan agak gelap maka , Kak Bibah tak nampak dengan jelas wajah budak perempuan itu. Kak Bibah menyapa budak perempuan tu, sebab dah malam-malam tak balik dorm lagi. Pada perkiraan Kak Bibah mungkin budak perempuan tu nak tidur di dorm lain yang mana perbuatan itu adalah bercanggah dengan peraturan asrama.

Kak Bibah memanggil budak perempuan tu lagi, sebab budak tu macam nak lari aje. Kak Bibah terus tarik lengan tangan budak perempuan tu bila budak tu enggan menoleh ke arah Kak Bibah. Sebaik saja badan budak perempuan tu berpusing ke arah Kak Bibah, Kak Bibah hamper nak pengsan sebab budak tu tak berwajah...kosong je. Apa lagi terus Kak Bibah angkat kaki berlari semula balik ke kelas. Sambil bercerita tangan Kak Bibah tak duduk diam membayangkan pada Kak Mas rupa bentuk budak perempuan yang tak bermuka tu. Tiba-tiba kawan yang soran lagi dari tadi asyik diam aje datang menghampiri mereka.

“Macam ni ker?” Kawan yang disangka Aishah tu tiba – tiba menarik kulit muka dan menjadikan dia tak bermuka. Kak Mas terus melompat keluar bersama Kak Bibah dan berlari balik ke dorm.

Kak Idah yang mendengar cerita Kak Mas terus menarik selimut dan tidur di katil Kak Mas malam tu sebab takut tidur di tepi pintu.

Begitu rupanya...selama ini aku sendiri pun tak tahu / tak ambil kisah cerita – cerita begini. Aku semakin takut dan penakut....

Saturday, 25 July 2009

Aku Kena Usik Gak!

Sejak dari hari tu, hari yang aku mendengar cerita daripada teman-teman di dorm, aku tiba-tiba teringat peristiwa lama semasa mula-mula datang di asrama ni. Untuk makluman, lepas peristiwa pertama tu. Aku langsung tak rasa takut apa-apa. Pegi mandi sorang, pi sembahyang sorang, ke kelas prep pun aku duk ikut jalan gelap tu pun aku tak rasa takut pun. Kawan-kawan lain masa tu duduk dorm lain kat building baru. Jadi dari dorm aku ke sana (nak melepak) aku kerap sorang-sorang je pegi dan balik. Bila dah dengar cerita budak-budak dorm ni aku teringat beberapa peristiwa yang mungkin aku sendiri tak perasan yang aku juga mungkin pernah diusik antaranya....
Aku ni jenis bangun pagi lewat, orang lain dah mandi barulah aku pi mandi. Kalau kat bilik air mesti yang last akulah. Pernah sekali tu, aku dalam tandas entah kenapa pagi tu perut sakit sangat. Masa kat dalam tandas, aku dengar pintu tandas sebelah ada orang masuk. Masa tu aku ingatkan ada budak lain yang lewat bangun cam aku gak. Aku pun selamba jelah. Bila aku keluar dari tandas, aku tengok kiri kanan tandas terbuka . Eh! Tak de orang pun. Tapi tak terlintas pulak kat fikiran aku masa tu..perkara yang bukan-bukan. Aku pun mandi kat shower. Masa mandi pun aku ada dengar bunyi pintu tandas seperti ada orang masuk. Tapi mungkin sebab aku tak pernah fikir yang bukan-bukan maka aku buat tak peduli. Lepas mandi terus aku ke dorm untuk bersiap ke sekolah.
Patutlah semua orang tengok aku macam heran semacam je. Agaknya diorang pelik pasal aku ni suka buat apa-apa sorang je. Aku pulak jenis tak ambil kisah.
Kawan-kawan kat dorm kata diorang heran tengok aku yang selalu pi mandi dan ke mana-mana sorang. Aku sengih je. Kalau hal ni aku tahu dari awal...sumpah aku tak kan buat apa-apa sorang-sorang je. Sejak dari dengar diorang cerita kisah seram tu...akulah manusia paling penakut sekali. Tapi aku buat ‘cool’ je. Hehehe... .
Banyak lagi diorang cerita...nanti aku ceritakan lagi ye.

Saturday, 18 July 2009

Geng Shower

Kita sambung kisah kawan yang kat dalam bilik shower tu.
Setelah ditinggalkan kawannya, apa kata kita namakan budak ni Mira. Sedang asyik mandi Mira tak sedar yang dirinya telah ditinggalkan sorang-sorang dalam bilik air tu. Mira yang sedang mandi berasa heran sebab tak dengar lagi suara kawannya bercerita atau apa-apa bunyi di luar bilik airnya. Heran Mira apasal senyap jer kawan dia tu. Mira terus memanggil kawannya yang kat luar tu, tapi tiada balasan. Berkali-kali Mira memanggil tiba – tiba pintu bilik air sebelah kedengaran seperti dimasuki seseorang dan kedengaran shower dibuka. Oh! Kau baru nak mandi ye...” kata Mira kepada kawannya yang disangkakan baru nak mandi. Tapi teguran Mira langsung tak bersambut. Mira cepat-cepat sudahkan mandi dan dia pun keluar dari bilik air. Bila ditoleh ke bilik air sebelah langsung tiada orang, tetapi air shower terbuka. Heran betul Mira sebab baru tadi dia dengar seperti ada orang masuk dan tutup pintu bilik air tu.
“Mana budak ni..ditinggalkan aku sorang-sorang” rungut Mira seorang diri. Mira sangkakan kawan dia sengaja tinggalkan dia selepas selesai mandi. Lepas tutup shower yang terbuka tadi Mira terus ke sinki untuk menggosak gigi. Dumm! Bunyi pintu tandas ditutup seseorang. Untuk makluman, lokasi tandas dan bilik air shower dipisahkan oleh deretan sinki. Jadi Mira tak nampak siapa yang masuk ke tandas. “Ha..ada pun orang boleh temankan aku” kata Mira dalam hati. Lama di sinki, Mira heran siapa pun yang masuk tandas tu masih tak keluar-keluar lagi. Mira pun memberanikan diri menjenguk ke sebelah. “Ish! Tak de orang pun”. Dada Mira mula berdegup kencang. Tidak semena-mena deretan pili di sinki terbuka tiba-tiba. Tanpa berlengah lagi Mira terus meluru keluar dari bilik mandi. Patutlah...keluh Mira sambil berlari keluar.
Nak lagi...tunggu.. .

Sunday, 12 July 2009

Ganguan Misteri

Selepas beberapa bulan di asrama, peristiwa menakutkan tu luput dari ingatan dan aku menjalani kehidupan di asrama seperti biasa tanpa sebarang gangguan. Ketika tu aku memang dah lupa terus dengan pengalaman ngeri tu.
Suatu hari, pada sekitar bulan Ogos 1997 hati aku tetiba je bagaikan tersentap dan tak semena-mena kenangan ngeri yang lalu mengimbau kembali. Nak tahu kenapa? Sebabnya masa dok melepak ngan kawan-kawan di dorm pada hujung minggu, aku tengok semua orang dalam dorm berkumpul atas katil sambil bercerita. Mulanya aku malas nak joint tapi entah macamana hati aku tergerak nak ikuti perbualan diorang tu. Rupa-rupanya diorang tengah cerita pasal budak-budak yang kena sakat dek hantu kat bangunan asrama yang aku duduk tu dan asrama blog bawah. Salah satu cerita yang diorang cerita adalah tentang gangguan kat bilik air asrama aku tu. Biasanya pada setiap pagi mesti ada penghuni asrama yang bangun awal pagi sekitar jam 4.30am semata-mata nak rebut tempat kat bilik air. Jadi mereka yang bangun awal ni biasanya tak ramai 4-5 orang je. Jadi masa kat bilik air, sape yang dah mandi mereka pun terus balik ke dorm. Budak yang tinggal tulah yang ceritakan. Setelah budak-budak yang lain selesai mandi tinggallah dia dan kawan dia aje kat bilik air tu. Sambil tu dia asyik berborak dengan kawan yang sorang lagi yang sedang mandi. Ketika dia sedang mencuci muka di sinki, tiba-tiba paip air dihujung sekali terbuka. Mulanya dia heran gak tapi dia tak endahkan sangat lalu dia pun tutuplah paip hujung tu. Yang tengah mandi tak sedar apa yang berlaku. Budak yang kat sinki tu pun pada mulanya tak fikirkan apa-apa pun walaupun ada tercetus sedikit rasa curiga. Dia pun teruskanlah aktiviti rutin pagi dengan memberus gigi. Sedang asyik gosok gigi, ekor matanya ternampak kelibat orang di hujung sinki. Dia ingatkan kawan yang sedang mandi tu dah selesai mandi dan berdiri di sinki hujung tu. Tapi otak dia ligat berfikir balik, kenapa masih ada bunyi air dan macam ada orang mandi lagi. Siapa pula kat sinki hujung tu. Dia pun menoleh kepala perlahan-lahan untuk melihat siapa kat situ. Tiba-tiba dalam masa yang sama makhluk tu pun sama menoleh dan mempamerkan giginya yang berdarah sambil memberus gigi gak tapi dengan pisau!. Apalagi terkejutlah budak tu dan dia rasa macam nak pengsan, tapi dia kuatkan semangat dan terus berlari keluar dari bilik air. Dia tak sempat nak bagitahu kawan dia yang sorang lagi tu. Apakah yang terjadi pada kawan dia tu? Jeng ...jeng...jeng...... .

Saturday, 4 July 2009

Pengalaman seram di asrama

Aku ingin berkongsi cerita-cerita seram dan misteri bersama semua pembaca diruangan ini.

Pernahkah anda mengalami peristiwa yang menyeramkan dan penuh misteri?

Pengalaman pertama yang aku rasai sendiri adalah semasa mula-mula menjejakkan kaki ke asrama penuh. Aku punyelah excited nak masuk asrama. Berkobar-kobar sampai tak lelap mata memikirkan macamanalah rasanya tinggal di asrama. Pagi - pagi lagi aku dah bangun dan siapkan semua kelengkapan untuk mendaftar masuk ke asrama. Setelah semua urusan selesai, aku dibawa ke dorm dengan diiringi oleh kedua orang tuaku.
Disebabkan aku tiba lebih awal, maka aku bebas memilih untuk tidur dimana-mana katil yang ada. Aku memilih untuk tidur di katil yang bersebelahan dengan pintu. Katil dua tingkat asrama telah disusun bercantum 2 katil. Maka ada lima kumpulan katil dalam bilik tersebut.
Malam tu setelah balik dari majlis suai kenal, aku yang keletihan terus berbaring atas katil sambil memikirkan aktiviti-aktiviti yang akan aku lalui esok hari. Sedar tak sedar dah pukul 12.00 lebih, tapi mata aku masih tak boleh tidur. Kakak-kakak form six pun dah balik ke dorm. Kakak kat sebelah aku pun dah tidur gak. Agaknya sebab beralih tempat tidur, jadi susah sangat mata nak lelap. Tiba-tiba aku terdengar bunyi hentakan kaki yang sangat kuat. Aku dapat merasakan gegaran setiap kali hentakan kaki itu kedengaran. Bunyi hentakan kaki tu betul-betul berhenti diluar pintu dorm aku. Masa tu aku tak rasa apa-apa lagi, sebab tak lama lepas tu bunyi hentakan kaki tu hilang. Dam!dam!dam! pintu disebelah katil aku diketuk kuat. Mulanya aku ingatkan ada lagi senior yang lewat balik, aku dah nak bangun buka pintu. Tetapi pintu tiba-tiba bergegar dengan kuat dan diketuk bertalu-talu. Anehnya tak seorang pun penghuni dorm yang sedar dengan bunyi bising tu. Akak kat sebelah aku, punyelah bagus tidur je. Aku pun mulalah rasa tak sedap hati, terus tarik selimut dan bersembunyi bawah selimut tu. Pintu masih terus digegar dan ditendang-tendang berkali-kali. Aku dapat mendengar dengan jelas bunyi keriukan yang bising seperti bunyi kelawar. Bunyi selipar dibaling ke pintu dan pintu ditendang-tendang dan bunyi selipar disepak-sepak. Aku pura-pura tidur dan tutup mata rapat-rapat. Kemudian aku terdengar suara dua kakak senior berbisik sesama sendiri "dia dah datang dah...". Bila aku dengar perkataan tu serta-merta tubuh aku menggigil ketakutan. Aku tak berani nak bergerak sedikit pun, sampai kaki dan badan aku rasa sakit dan kebas. Aku tak berani langsung nak buka selimut atau bergerak. Aku cuba kejutkan kakak kat sebelah aku tapi tak berjaya. Masa tu aku hanya berdoa agar hari cepat siang. Aku rasakan perjalanan malam tu sangat panjang, entah bilalah nak siang.
Entah bila aku terlelap aku pun tak sedar. "dik, bangun solat". Aku dikejutkan oleh kakak senior untuk solat subuh. Fuh! lega betul hari dah siang. Aku harap semua yang aku alami semalam tu cume mimpi je. Eh! apasal semua selipar berselerak ni. Aku terdengar kakak senior bersungut-sungut sambil menyusun semua selipar dan kasut yang berselerakan. Aku rasa terkedu seketika memikirkan peristiwa malam tadi tu...memang betul-betul berlaku. Aku cuba tanya kakak sebelah aku samada dia ada dengar apa-apa malam tadi. Dengan selamba dia jawab "entah, tak dengar apa-apa pun". Sah-sahlah tidur mati.
Selepas dari hari tu pelbagai lagi peristiwa dialami sepanjang aku tinggal diasrama. Aku akan ceritakan di lain kali.